SERDANG: Polis memburu seorang lelaki selepas suspek bertindak memecahkan cermin hadapan sebuah kereta menggunakan topi keledar, dalam kejadian di Taman Bukit Serdang, dekat Seri Kembangan, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Asmadi Borhan, berkata siasatan awal mendapati, punca kejadian adalah disebabkan rasa tidak puas hati suspek terhadap pemandu kereta itu yang dikatakan membunyikan hon kepadanya dan seorang lagi penunggang motosikal.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang, 28 Mei lalu ketika mangsa seorang perempuan berusia 22 tahun memandu kereta jenis Perodua Axia di Jalan Kasturi, Seksyen 12, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan.

POLIS kenal pasti dan sedang mengesan penunggang motosikal bernombor pendaftaran VBD5494. – NSTP/Email

“Tiba-tiba dua motosikal ditunggangi dua lelaki yang tidak kenal pasti nombor pendaftarannya berhenti mengejut di hadapan kereta pengadu menyebabkan dia terpaksa membrek secara mengejut.

“Salah seorang daripada penunggang motosikal itu kemudian bertindak memukul cermin hadapan kereta pengadu dengan topi keledar sambil mengatakan ia salah wanita terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ismadi berkata, pihaknya sudah mengenal pasti identiti lelaki berkenaan dan usaha mengesannya kini sedang giat dilakukan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu polis dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Khazar Ahmad Khatib di talian 03-80741222.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Video kes itu turut tular di media sosial yang menunjukkan dua motosikal berhenti di hadapan kenderaan mangsa sebelum salah seorang daripada mereka turun dan terus menghayun topi keledar ke arah cermin hadapan kereta berkenaan menyebabkan ia retak – Berita harian