IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, tiada halangan bagi sesiapapun menyatakan hasrat untuk bertanding atau terus memberi perkhidmatan.

Bagaimanapun, kata beliau, apa yang paling penting ialah keputusan yang akan dibuat oleh pucuk pimpinan, perlu diterima oleh semua pihak.

“Kita tidak ada halangan bagi sesiapa pun untuk menyatakan hasrat untuk bertanding ataupun untuk terus memberikan perkhidmatan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlangan 2017 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Selasa.4771bf47-b130-4ff3-a3f0-ca2cc8ce4a31

Beliau diminta mengulas kenyataan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang bersedia sekiranya dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Ahli Parlimen Tambun itu bagaimanapun berkata, terpulang kepada Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukannya.

Dr Zambry berkata, Husni pun turut membuat kenyataan bahawa akan akur dengan keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan.

“Itulah pendirian kita dalam konteks Barisan Nasional, itulah semangat Barisan Nasional iaitu tidak ada halangan bagi sesiapa pun menyatakan hasrat untuk memberi perkhidmatan,” ujarnya.

Beliau menambah, pucuk pimpinan akan membuat penilaian dan apabila keputusan telah dibuat, semua pihak harus mematuhi keputusan itu, termasuk sesiapa sahaja yang membuat cadangan.

“Bagi saya, tidak ada salahnya bagi Datuk Seri Husni untuk menyatakan hasratnya,” kata beliau.