IPOH: Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya merempuh sebuah treler yang berhenti ketika lampu isyarat merah di Jalan Kuala Kangsar, berhampiran IGB Tasek, dekat sini, pagi ini.

Menurut laporan polis, kejadian berlaku kira-kira jam 5.10 pagi, ketika pemandu treler yang terlibat dalam perjalanan dari Chemor ke Simpang Pulai dan berhenti di tempat kejadian kerana lampu isyarat merah.

Mangsa, 30, yang memandu sebuah kereta dikatakan terlanggar bahagian belakang treler terbabit dan meninggal dunia ditempat kejadian.

Bomba kemudiannya membantu mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.