KUALA KANGSAR: Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kenderaan di Jalan Ipoh-Taiping, di sini, pada petang Rabu.

Dalam kejadian sekitar 4.15 petang itu, mangsa, Sayang Hamid, 50, mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abd Haq mengesahkan insiden berkenaan ketika dihubungi pada petang Rabu.

Menurut beliau, kedua-dua kenderaan sedang dalam laluan sama iaitu dari Kuala Kangsar menghala ke Sungai Siput.

“Ketika sampai di lokasi kejadian berhampiran Klinik Desa Kota Lama Kiri, sebuah kereta Proton Saga dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun membelok ke kanan untuk membuat pusingan-U.

“Motosikal mangsa yang berada di belakang kereta itu tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian tepi kanan kereta jenis Proton Saga berkenaan,” katanya.

Menurutnya, mangsa tercampak ke tepi kanan jalan berikutan perlanggaran kuat berkenaan manakala kereta itu melintang di bahagian tengah jalan.

Termizi berkata, bedah siasat yang dilakukan di Hospital Kuala Kangsar mengesahkan mangsa maut akibat beberapa kecederaan di badan.

Jelasnya, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

maut-tak-sempat-elak 2