Tak Serik Ditahan Kerana Dadah

Oleh:Nazialita Geynna Maharan

TAIPING: Seorang pembantu kantin yang mempunyai pelbagai rekod melibatkan dadah dan jenayah tidak pernah serik apabila dia sekali lagi diberkas dengan beberapa jenis dadah dalam satu serbuan di Batu 18, Padang Gajah, Trong, dekat sini pada awal pagi Jumaat.

Lelaki berusia 44 tahun itu dicekup sekitar jam 1 pagi bersama pelbagai jenis dadah seberat 170.4 gram di bahagian dapur rumahnya oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Taiping.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamed Taib berkata pihaknya menemui suspek sedang duduk di atas lantai dapur rumah ketika serbuan dilakukan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiga peket lutsinar disyaki bahan jenis heroin seberat 151.0 gram, empat peket dadah jenis methampetamin (3.7 gram), dan satu plastik berisi ketulan mampat daun-daun kering disyaki dadah jenis ganja( 5.7 gram) dari atas lantai bahagian dapur.

“Selain itu, pihak kami turut merampas satu peket plastik lutsinar berisi peket-peket plastik kosong, sebuah alat penimbang digital, dan satu alat menghisap dadah di dapur tersebut,”katanya kepada pemberita.

Mohamed berkata kesemua barangan tersebut telah dirampas dan suspek diberkas di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Kami turut merampas sebuah kenderaan jenis Naza Sutera milik suspek selain menyiasat kes di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 akta yang sama,”katanya lagi.

“Pada hari yang sama, kami turut merampas dadah jenis heroin seberat 0.30 gram dari seorang lelaki di tapak Pasar Malam Kamunting, dan disiasat di bawah Sek 12 (2) ADB 1952,”ujarnya lagi.