PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata kenyataannya berhubung perkahwinan kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun baru-baru ini tidak bermakna menyokong perkahwinan bawah umur.

Sambil menegaskan kepentingan kanak-kanak perlu menjadi keutamaan pada setiap masa, beliau berkata perkahwinan tidak harus digunakan sebagai jalan keluar daripada kepompong kemiskinan.

Beliau berkata kenyataannya berkaitan isu perkahwinan kanak-kanak dengan duda berumur 44 tahun di Kelantan itu dibuat berdasarkan laporan oleh Pegawai Kebajikan Masyarakat bahawa ia sudah mendapat kebenaran Mahkamah Rendah Syariah Tumpat dan sah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Selaku Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, saya menegaskan kembali bahawa kita akan menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

“Saya sudah mempengerusikan mesyuarat bagi membincangkan isu itu bersama pihak berkepentingan berkaitan pada 13 September lalu yang antara lain memutuskan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Kami akan menyediakan kertas kerja bagi menaikkan had umur perkahwinan bagi orang Islam sebelum dibentangkan dalam mesyuarat menteri besar dan ketua menteri untuk mendapatkan sokongan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Wan Azizah berkata satu kertas Kabinet akan turut disediakan untuk menaikkan had umur minimum perkahwinan bagi bukan Islam kepada 18 tahun.

Timbalan Perdana Menteri berkata ketua-ketua adat juga akan diberikan maklumat berkaitan kesan negatif perkahwinan bawah umur terhadap kesihatan dan keselamatan kanak-kanak selain pendedahan mengapa had umur minimum dititikberatkan.

Beliau berkata KPWKM dan Jabatan Kehakiman Syariah akan bekerjasama menggubal garis panduan yang lebih ketat dan menyeluruh bagi proses meluluskan perkahwinan kanak-kanak oleh Mahkamah Syariah di mana antara perkara yang diberi tumpuan ialah faktor risiko kehamilan dan kelahiran di usia muda.

Dr Wan Azizah berkata beliau sudah berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Datuk Liew Vui Keong untuk menyemak kelompongan dan ketidakseragaman di antara undang-undang Syariah dan Sivil berkaitan perkahwinan kanak-kanak.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau juga mengarahkan pegawainya untuk menyemak undang-undang sedia ada bagi memastikan kebajikan dan kepentingan kanak-kanak terpelihara dalam apa jua keadaan.

Katanya pindaan undang-undang hanyalah sebahagian daripada usaha yang akan dilaksanakan, namun pendekatan menyeluruh harus diambil merangkumi soal pendidikan, jaringan sosial, pembasmian kemiskinan dan sistem sokongan bagi kanak-kanak.

“Perlindungan dan hak kanak-kanak adalah kepentingan utama bagi saya dan saya tidak akan sesekali berkompromi berkaitan hal ini,” katanya. – BERNAMA