IPOH: Setelah diserang bertubi-tubi sejak beberapa hari lalu, calon Melayu DAP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebing Tinggi, Prof Dr Abdul Aziz Bari tampil untuk menjawab isu yang mendakwa beliau umpama samseng yang datang ke tempat orang.

Beliau bagaimanapun mempertikaikan mengapa calon Barisan Nasional (BN) DUN Tebing Tinggi, Tony Khoo Boon Chuan dan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timor, Datuk Azian Osman yang membuat kenyataan balas, bukannya Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sendiri.

“Saya agak kecewa dengan respon yang diberikan, sepatutnya respon itu diberikan oleh pejabat Menteri Besar, bukan daripada Tony Khoo, walaupun dia calon tetapi dia tiada kuasa.

“Tony Khoo bukannya kerajaan, sama juga dengan Datuk Azian Osman. Siapa dia ni, dia bahagian Ketua UMNO sahaja, bukannya Exco ataupun bekas Exco dan dia tidak pernah duduk dalam kerajaan,” katanya sinis pada sidang media di pejabat Pakatan Harapan di Stesen 18 di sini, hari ini.

Calon Melayu tunggal DAP di Perak itu mahu, Menteri Besar sendiri menjawab pelbagai isu dan persoalan yang ditimbulkannya, bukannya dari mana-mana wakil.

Ditanya mengenai serangan balas oleh parti politik lain, Abdul Aziz berkata, beliau tidak mempunyai masalah menerima beberapa kritikan tetapi bukan melabelkannya sebagai penderhaka.

“Kemudian guna ‘cyber trooper’ untuk menyebarkan bahan-bahan, saya fikir merepek, mengarut, berbaur sentimen perkauman,” ujarnya sambil menyifatkan tindakan itu sebagai suatu usaha terdesak.

Sebelum ini, Azian dalam satu sidang media mengingatkan Abdul Aziz supaya jangan datang dan berlagak seperti samseng jalanan, menghasut dan menuduh Menteri Besar.

Peringatan keras itu sebagai menempelak tindakan Abdul Aziz yang mendakwa Dr Zambry tidak menunaikan kerjanya sebagai pemimpin negeri Perak.

BERITA BERKENAAN : Siasat Kes Ugut Bunuh Petugas SPR – TPM