KUALA LUMPUR : Tawaran harga tanah yang tinggi kepada pemilik dan waris tanah Kampung Baru hanya akan membebankan orang Melayu lain yang mahu memiliki kediaman di kawasan itu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keadaan itu berlaku jika kerajaan menawarkan pembelian harga tanah pada kadar semasa, maka kos pembangunan di Kampung Baru juga meningkat.

Menurut beliau, pemaju terpaksa menaikkan harga rumah yang dibangunkan kerana kos membeli tanah sudah tinggi.

“Kita boleh naikkan harga (tanah) kepada pemilik. Yang kita khuatir dengan kenaikan harga itu, bangunan yang didirikan sebagai rumah, flat dan pangsapuri akan naik harga dan tak dapat jual kepada orang Melayu.

“Sedangkan Kampung Baru adalah untuk orang Melayu,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Ekspo Peranti Perubatan Malaysia (MYMEDEX) 2019 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Disebabkan itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan hanya menawarkan kadar istimewa kepada pemilik dan waris tanah supaya orang Melayu mampu membeli semula hartanah yang akan dibangunkan kelak.

“Kalau hendak ikut harga tanah di luar Kampung Baru, ada yang sampai RM7,000 sekaki persegi. Kalau macam ini, orang Melayu sudah tidak boleh lagi tinggal di Kampung Baru.

“Kita bagi (tawar) murah, kita boleh buat bangunkan pangsapuri dan flat dengan harga lebih murah, yang mampu milik untuk orang Melayu,” katanya.

Tetapi, Dr Mahathir tidak menyebut harga yang ditawarkan.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad memaklumkan kerajaan akan membuat tawaran baharu dan muktamad kepada pemilik tanah Kampung Baru bagi menyelesaikan kemelut pembangunan kampung itu.

Tawaran berkenaan yang bakal diumumkan minggu depan disifatkan sebagai yang terakhir oleh kerajaan.