Subscribe Now

Trending News

Tidak teruja tawaran jadi MB, kekal bersama UMNO
Dalam Negeri

Tidak teruja tawaran jadi MB, kekal bersama UMNO 

BUKIT GANTANG : Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad tidak akan teruja dengan sebarang tawaran untuk menjadi Menteri Besar.

Beliau berkata, yang penting baginya ialah menjadi pembangkang berwibawa serta menubuhkan kerajaan bersama dengan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Siapa yang akan menjadi Menteri Besar, Allah yang tentukan, jadi janganlah kita rasa gundah gulana.

“Jadi, janganlah cuba mengambil kesempatan untuk menggula-gulakan kita sepertimana mereka menipu rakyat pada PRU-14,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Moh Mengopi bersama Datuk Saarani Mohamad di Matang di sini hari ini.

Terdahulu, sewaktu sesi forum yang berlangsung dalam program tersebut, Saarani ditanya oleh moderator mengapa UMNO tidak sudi menerima pelawaan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menyertai parti itu kerana sekiranya ia terjadi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO pasti diangkat sebagai Menteri Besar.

Dalam pada itu, Saarani berkata, adalah lebih baik sekiranya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan daripada UMNO dibubarkan untuk bergabung dengan Bersatu yang tidak menunjukkan keikhlasan.

Selain itu katanya, adalah tidak logik ‘kapal besar’ seperti UMNO Perak terdiri daripada 1,771 cawangan dengan keahlian mencecah sebanyak 240,000 orang, menyertai ‘kapal kecil’ seperti Bersatu Perak yang tidak diketahui bilangan ahlinya termasuk bahagian dan cawangannya.

“Pada waktu dia (Dr. Mahathir) maki kita sebagai penyangak dan perompak, kemudian dia tawar pula(memasuki Bersatu), mana keihkhlasannya? Esok kalau dia rasa dia kuat, dia tendang kita pula,” katanya.

Tambah Saarani, pelawaan Dr. Mahathir itu juga menunjukkan kedudukan orang Melayu dalam Pakatan Harapan itu sendiri yang sebenarnya lemah tetapi bukan dalam kalangan UMNO dan Pas.

“Kerajaan Pakatan Harapan di Perak ada 31 kerusi selepas mereka curi dua kerusi dari UMNO. Daripada 31 kerusi, hanya ada 12 orang Melayu Islam dan 19 lagi bukan Melayu Islam.

“Maknanya, Melayu dalam Pakatan Harapan kecundang berbanding kami UMNO dan Pas ada 28 kerusi. 28 dengan 12 kerusi, mana lagi besar? Jadi, jangan silap Dr. Mahathir anggap orang Melayu lemah tetapi sebenarnya Melayu dalam Pakatan Harapan itulah yang lemah,” katanya.

– UTUSANONLINE

Related posts