Oleh:Nazialita Geynna Maharan

PENGKALAN HULU: Sebelum ini, kisah mengenai seorang penduduk Kampung Pahit, dekat sini yang mendakwa kebun diusahakan arwah ayahnya dimusnahkan pihak tertentu telah membawa pelbagai reaksi orang ramai.

Salmiah Abdullah, 37, ketika dihubungi mengakui meskipun tanah itu tidak dimiliki secara mutlak namun arwah bapanya, Abdullah Omar merupakan antara peneroka awal di kawasan itu yang telah mengusahakannya sejak puluhan tahun.

Namun, wanita tersebut mendakwa dia berasa cukup sebak apabila ada pihak bertindak menebang pokok-pokok tanaman arwah ayahnya tanpa memaklumkannya terlebih dahulu.

Justeru, Suara Perak telah mendapatkan komen daripada beberapa pihak berwajib yang diyakini cukup sesuai untuk tampil memberi penerangan isu yang melibatkan penduduk setempat serta kes pemilikan tanah ini.

Ketua Kampung Klian Intan, Zelnor Jusoh ketika ditemui menafikan dakwaan bahawa dia tidak pernah bertindak menghubungi keluarga Salmiah sebelum kerja “mencuci” kawasan tersebut dilaksanakan.

Menurutnya, dia sudah bertemu kakak Salmiah dengan semuanya berjalan dengan baik malah keluarga terbabit bersetuju membenarkan tanah di kawasan tersebut ditolak bagi tujuan membina jalan ke atas bukit.

“Saya berjumpa sendiri dengan kakaknya dan dia bersetuju pada awalnya, cuma dia beritahu mungkin adiknya (Salmiah) tidak bersetuju jadi saya minta kakaknya panggil Salmiah balik ke kampung untuk bincang.

“Saya dimaklumkan dia ada balik dan sepatutnya perjumpaan diadakan pada 8 Januari. Turut hadir merupakan wakil pihak Pejabat Tanah dan Daerah Pengkalan Hulu bertujuan mengetahui masalah beliau dan cara penyelesaiannya tetapi dia tidak datang.

“Benda ini, boleh bincang secara baik sebab bukan kita nak ambil tanah itu tetapi kita cuma nak buat satu laluan untuk kegunaan orang awam awam dan FELCRA,”katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Tanah dan Daerah Pengkalan Hulu di sini, pada petang Selasa.

Zelnor berkata sebagai ketua kampung beliau berasa kesal dengan dakwaan Salmiah seolah-olah langsung tiada usaha dibuat untuk berhubung dengan ahli keluarga tersebut.

Tegasnya dia tidak pernah berniat untuk menganiayai keluarga Salmiah yang memang amat dikenalinya itu.

Zelnor berkata beliau juga pernah mengesahkan status sebuah rumah usang yang terletak dalam kawasan tanah yang diusahakan arwah Abdullah Omar.

“Saya pernah berbual dengan abang ipar pengadu, dan saya berikutan itu sahkan kepada Ketua Polis Balai Klian Intan bahawa rumah usang dalam kebun itu sebenarnya sarang penagih dadah yang telah diserbu beberapa kali.

“Pejabat Daerah tunggu hampir sebulan, tiada sebarang maklum balas jadi kita anggap dia setuju…ini bukan isu nak ambil tanah dia. Ianya bertujuan untuk buat jalan bagi keguanaan orang rami. Malah saya diberitahu pihak pejabat Daerah cuba meminimumkan jumlah pokok ditebang seboleh mungkin,”katanya yang telah berkhidmat sebagai Ketua Kampung Klian Intan selama lima tahun.