UMNO Bahagian Tambun tidak mengalami sebarang krisis dalaman yang serius sepertimana yang didakwa, tegas Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri memberitahu pemangku Ketua Bahagian UMNO Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah selaku pengganti Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah telah melakukan tugas yang baik bersama ahli-ahli jawatankuasa bahagian.

“Saya fikir tidak ada masalah kerana kita telah pun tanamkan ke dalam hati dan juga perasaan ahli bahawa kita kepunyaan parti, kita bekerja dan bergerak sebagai sebuah parti dan bukannya secara individu.

“Datuk Seri (Husni) meletakkan jawatannya kerana mempunyai alasan tersendiri dan bukan kerana krisis dalaman atau apa, dia merasakan sudah tiba masanya beliau meletakkan jawatan jadi kita terima serta hormati beliau.

“Aminuddin pula bukanlah ahli politik yang baharu, berdasarkan pengalamannya kita yakin dengan beliau dan setakat ini tidak wujud gerakkan yang cuba jatuhkan beliau atau sebagainya,” kata beliau dalam sesi temuramah bersama Sinar Harian di PWTC, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Temuramah itu diadakan bersempena dengan persidangan UMNO yang sedang berlangsung sehingga Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab dakwaan kononnya wujud krisis dalaman di bahagian tersebut setelah Husni meletakkan jawatannya.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan adakah Husni seharusnya diambil tindakan disiplin oleh parti kerana kelantangannya mengkritik beberapa dasar kerajaan, Dr Zambry memberitahu mantan Menteri Kewangan II itu tidak melanggar peraturan parti.

“Sehingga kini, saya tidak fikir dia (Husni) telah mengambil langkah-langkah yang memudaratkan parti.

“Dari segi apa yang disuarakan beliau itu, ya…memang kita faham kerana beliau mempunyai pandangan-pandangan tertentu.

“Namun apa yang menjadi perhatian kita sehingga hari ini parti belum melihat ianya tindakan yang memudaratkan melainkan ada bukti menunjukkan sebaliknya, baru kita akan melihat (keahlian Husni),” ujar beliau.