PANGKOR: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hari ini menegaskan pejabatnya langsung tidak pernah menawarkan apa-apa pakej berkaitan haji.

Beliau memberitahu, ketika ini terdapat mesej yang sedang viral kononnya pejabat Menteri Besar menawarkan “Pakej Sahabat Daripada Pejabat MB Perak” dengan harga RM39,500.

Menurut beliau, pakej itu kononnya menawarkan kepada orang ramai dengan harga itu mereka akan mengerjakan haji selama 28 hingga 30 hari dan tidur di hotel lima bintang.

“Saya nak tegaskan di sini saya tidak pernah membenarkan mana-mana pihak menggunakan nama pejabat saya,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di Pangkor pada Ahad.

Justeru itu beliau menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak terpedaya dengan “pakej” berkenaan.

“Jangan mudah terpedaya, saya mohon orang ramai berhati-hati dengan perkara-perkara begini.

“Saya telah pun meminta Setiausaha Kerajaan Negeri menyiasat perkara ini,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau memberitahu padang sintentik pertama di Pulau Pangkor akan boleh digunakan sepenuhnya mulai bulan hadapan.

“Ianya merupakan peruntukkan dari Kementerian Belia dan Sukan, kita jangkaan mulai bulan depan boleh digunakan.

“Padang bernilai RM2.2 juta itu juga akan kita pasang lampu supaya memudahkan mana-mana pihak sama ada pihak sekolah, masyarakat Pangkor sendiri atau kerajaan negeri mengadakan program-program di situ,” jelas beliau.