IPOH: Majlis Perbandaran Taiping (MPT) akan menjadi tuan rumah kepada Taiping International Flag Marathon (TIFM) 2018 tahun hadapan, yang merupakan marathon pertama di negeri Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, lebih 3,000 peserta dijangka mengambil bahagian di dalam acara itu yang akan diadakan 4 Mac 2018 di Dataran Warisan.

Menurut beliau, Taiping bukan sahaja sebuah destinasi pelancongan yang kaya dengan peninggalan sejarah dan budaya warisan, keindahan alam semulajadi dan kepelbagaian juadah makanan, malahan juga acara-acara sukan.

b1d1e5eb-0e60-49f8-b431-06e2e39b376d

“Kita akan lihat kepada prestasi tahun ini, jika berjalan dengan baik, kita akan jadikannya sebagai salah satu acara tahunan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua MPT, Datuk Abd Rahim Md Arif, Setiausaha MPT, Borhan Abdul Halim dan Pengarah Urusan Taiping International Flag Run 2018, Kary T.

Nolee berkata, rekreasi juga turut menjadi daya tarikan kepada pelawat dan pelancong untuk datang berkunjung ke bandar Taiping.

Malahan, kata beliau, dengan adanya keistimewaan itu, juga telah menarik banyak penganjuran pelbagai acara pelancongan serta sukan dari masa ke semasa.

“Pada tahun ini sahaja, juga bersempena Tahun Melawat Perak 2017, Taiping telah menjadi tuan rumah kepada penganjuran kira-kira lima sukan larian yang keseluruhannya telah disertai oleh hampir 10,000 orang peserta dari dalam dan luar negara,” ujarnya.

Penganjuran TIFM 2018 akan dijayakan oleh Tan Tze Ray and Baldman Sports Enterprise dengan bekerjasama MPT dan Tourism Perak serta disokong oleh beberapa penaja menggunakan slogan ‘RUN FOR YOUR PRIDE’.

Menurut Nolee, penganjur acara itu akan mewujudkan beberapa ‘cheering points’ di pelbagai lokasi yang mempunyai tarikan pelancongan seperti di kaki Bukit Larut, Taman Tasik Taiping, hadapan Zoo Taiping, di hadapan Muzium Perak, SPRITZER Eco Park dan lain-lain lokasi yang menarik.

Beliau memberitahu, secara keseluruhannya, acara itu menawarkan lima jenis larian iaitu full marathon 42km, half marathon 21km, 12km, 5km dan Fun Run @ 5km dengan mempertandingkan 15 kategori.

Menurutnya, beberapa usaha telah dilaksanakan di peringkat awal untuk menarik minat peserta-peserta dari luar negara seperti menyediakan akses melalui pelbagai media sosial di samping bekerjasama dengan beberapa agensi di luar negara.

Nolee berkata, setakat ini, peserta daripada lapan buah negara telah menyatakan kesediaan untuk mengambil bahagian di dalam acara tersebut iaitu England, Singapura, Taiwan, Thailand, Myanmar, Indonesia, Ireland dan Malaysia.

Dalam masa sama, tambahnya, pihak MPT juga telah mengarahkan pihak penganjur TIFM 2018 untuk mendaftarkan penganjuran acara itu dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) dan Persatuan Olahraga Perak (Perak AA).

Sebarang maklumat lanjut boleh melayari laman sosial HTTPS://EVENT.HOWEI.COM atau HTTP://WWW.RACEXASIA.COM atau HTTPS://WWW.FACEBOOK.COM/TAIPINGFLAGRUN2018 dan tarikh tutup perdaftaran pada 31 Januari depan.