MANJUNG: Mahkamah Majistret Manjung hari ini (Selasa) membebaskan tiga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari tuduhan memukul sehingga mencederakan orang awam dua tahun lalu.

Ketiga-tiga tertuduh yang berumur antara 26 dan 39 tahun didakwa mencederakan Nordin Yappa, 23, di luar sebuah premis, Jalan Medah Sejahtera, Sitiawan pada pukul 2.30 pagi 23 April 2015.

Majistret Nur Shaqira Ibrahim membebaskan kesemua tertuduh selepas pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan hari ini.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Farhana Hashim manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Sukhdave Singh dan Keshvinder Singh.

Mereka didakwa mengikut seksyen 323 kanun keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.