MANJUNG: Keadaan tiga beradik yang dimasukkan ke wad selepas sakit disyaki berpunca daripada keracunan makanan kini dalam keadaan beransur pulih dan dijangka dibenarkan pulang ke rumah dalam masa terdekat.

Tinjauan pemberita di Hospital Seri Manjung di mana ketiga-tiga beradik perempuan masing-masing berusia 9, 13 dan 16 tahun sedang dirawat mendapati mereka dalam keadaan stabil setelah dimasukkan ke wad sejak seminggu lalu.

Bagaimanapun, ketiga-tiga beradik itu kelihatan dalam keadaan sugul dan agak terkejut ketika menerima kunjungan pemberita dan enggan bercakap ketika diajukan soalan.

Ketiga-tiga adik beradik juga dikatakan enggan bercakap kerana masih terkesan dengan kehilangan abang mereka berusia 11 tahun yang maut dipercayai keracunan makanan.

Sebelum ini, Astro Awani melaporkan kematian seorang kanak-kanak lelaki pada 5 Mei dipercayai setelah mengalami gejala keracunan makanan selepas membeli makanan di gerai Simpang Gelung Pepuyu dan bazar Ramadan Titi Gantung dekat Seri Manjung Jumaat lepas.

Pengarah Kesihatan Perak, Dr. Ding Lay Ming berkata, mangsa yang berusia 11 tahun merupakan salah seorang daripada tujuh ahli keluarga tiga beradik itu yang berasal dari Kampung Changkat Chermin dekat Ayer Tawar yang mengalami gejala tersebut.

Jelasnya, keracunan itu mengakibatkan kesemua mangsa sakit perut, cirit-birit, dehidrasi, keletihan dan demam manakala seorang daripada mereka mengalami sawan bermula pukul 1 hingga 5 pagi pada Jumaat lepas.

Sementara itu, Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham yang berkesempatan melawat keluarga tersebut berkata ianya merupakan peristiwa yang amat sedih apatah lagi insiden itu terjadi menghampiri Hari Raya Aidilfitri akan datang.

Jelasnya, beliau menggesa semua pihak terutamanya pihak peniaga untuk menjaga kebersihan serta persekitaran khususnya penyedia makanan agar tidak berlaku sebarang unsur yang mendorong kepada keracunan makanan.

“Ini sangat penting, supaya apa yang berlaku kepada keluarga ini tidak akan berlaku kepada keluarga lain,sedangkan sepatutnya Ramadan itu diraikan bersama dan Aidilfitri menjelang juga ruang untuk kita bergembira semasa musim perayaan,”ujarnya lagi.