KAMPUNG GAJAH – Kelekaan tiga beradik lelaki menghisap dadah di ruang tamu rumah mereka di Kampung Makmur, Sungai Galah, di sini membawa padah apabila ditahan polis, pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, ketiga-tiga beradik berusia antara 21 hingga 32 tahun itu merupakan antara lima individu yang ditahan polis dalam Ops Tapis di dua buah rumah berasingan di kampung sama.

“Serbuan dilakukan sekitar jam 11 pagi dan hasil pemeriksaan yang dijalankan pada sebuah beg pinggang lelaki berusia 26 tahun berjaya menemui sepaket plastik lutsinar disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 5.56 gram.

“Polis kemudiannya melakukan pemeriksaan ke atas seorang lagi berusia 21 tahun, dan menemui sepaket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 5.02 gram,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, pemeriksaan yang dijalankan ke atas seorang lagi lelaki berusia 32 tahun yang juga abang kepada dua lelaki tersebut, menemui sepaket plastik lutsinar berisi bahan disyaki heroin seberat 2.70 gram di poket belakang seluar yang dipakainya.

“Hasil ujian air kencing yang dijalankan, dua lelaki berkenaan yang berusia 21 dan 26 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine, manakala seorang lagi positif dadah jenis morpin,” katanya.

Menurut Mohamad Zainal lagi, pihak polis juga berjaya menahan dua lelaki di rumah berasingan dalam kampung yang sama di mana pemeriksaan ke atas suspek berusia 37 tahun berjaya menemui 10 paket lutsinar disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 5.80 gram di dalam beg sandang yang dipakainya.

“Pemeriksaan terhadap seorang lagi suspek berusia 22 tahun di rumah yang sama turut menemui 10 paket lutsinar disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 5.75 gram di dalam beg kecil dipegangnya.

Kesemua mereka ditahan pihak polis dan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 – sinar