KLUANG: Tiga beranak berhadapan hukuman gantung sampai mati berikutan penemuan satu bungkusan plastik berisi ketulan mampat disyaki ganja dengan anggaran berat kasar 1,030 gram di kediaman mereka di Taman Seri Impian dekat sini .

Pemangku Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Supritendan Abdul Razak Abdullah Sani, berkata bertindak daripada maklumat orang ramai dan hasil risikan selama dua minggu, sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menyerbu kediaman suspek di Nombor 154, Jalan Seri Impian 3/7, Taman Seri Impian, pada jam 2.50 petang pada 5 September lalu.

Katanya, pemeriksaan tubuh ke atas seorang lelaki berusia 51 tahun serta dua orang wanita berumur 48 dan 20 tahun tidak menemui apa-apa barang namun pihak polis menemui sebuah kotak yang tertulis ‘Spring Fresh’ yang mengandungi satu bungkusan plastik dipercayai dadah jenis ganja dengan nilai pasaran kira-kira RM2,500.

“Hasil daripada siasatan lanjut, ketiga-tiga suspek mempunyai ikatan kekeluargaan iaitu lelaki yang berusia 51 tahun adalah suami kepada wanita berumur 48 tahun manakala seorang lagi wanita yang berusia 20 tahun itu adalah anak mereka yang masih bujang.

“Walau bagaimana pun, semakan mendapati dua wanita berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau manakala suspek lelaki pernah ditahan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah jenis ganja,” katanya kepada media hari ini.

Abdul Razak berkata, ketiga-tiga suspek akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dikenakan tahanan reman selama tujuh (7) hari sehingga 12 September ini untuk membantu siasatan.

“Hasil daripada tangkapan ke atas tiga suspek ini, pihak polis percaya telah berjaya menumpaskan satu daripada aktiviti pengedaran dadah secara kecil-kecilan di sekitar kawasan bandar Kluang ini.

“Pihak polis amat mengalu-alukan penyaluran maklumat daripada orang ramai dan akan sentiasa membuat pemantauan ke atas kegiatan pengedaran dadah seperti ini walaupun dilakukan secara kecil-kecilan,” katanya – berita harian