Oleh:Nazialita Geynna Maharan

BUKIT CHANDAN: “Kami terpaksa keluar melalui tingkap kerana semua pintu kereta tidak boleh dibuka. Semua dihalang dengan dahan pokok.”

Itu kata Low Wai Mee, 39, ketika menceritakan detik cemas bersama dua orang anaknya yang terperangkap dalam kereta selama beberapa minit selepas sebatang pokok besar menghempap kenderaan mereka.

Wai Mee, pada ketika itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya, tidak sempat berbuat apa-apa semasa melihat pokok setinggi lebih 20 meter itu tumbang ke arah keretanya di Highland Park, di sini.

“Memang saya tidak sempat berbuat apa-apa, masa itu nak terus tekan brek pun tak boleh, nak tekan minyak cepat-cepat pun tak boleh.

“Tiba-tiba saja pokok itu tumbang dan menghempap kereta saya. Dua anak saya yang berada dalam kereta juga terkejut bila dengar bunyi kuat dari dalam kereta.

“Keadaan kelam-kabut sekejap apabila kami cuba menyelamatkan diri, mujur kami boleh keluar melalui tingkap kereta,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian pada petang Rabu.

Anak Wai Mee, Ong Foo Cheng, 15, yang turut berada dalam kereta memberitahu dia dapat melihat pokok itu tumbang ke arah kereta dinaiki mereka namun belum sempat dia beritahu ibunya, kereta sudah berada di bawah pokok besar itu.

pokok-hempap-kereta

“Semua berlaku begitu pantas, nampak pokok itu tumbang dan beberapa saat kemudian terus menghempap kereta kami. Ibu tidak sempat mengelak.

“Saya dan adik tidak mengalami sebarang kecederaan namun ibu ada sedikit cedera dan luka di bahagian tangan terkena cermin yang pecah,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang penduduk tempatan yang ingin dikenali sebagai Kumaran, 27, berkata, hujan lebat dan petir kuat mungkin menjadi punca pokok itu tumbang secara tiba-tiba, petang semalam.

Menurutnya, dia lega kerana mangsa tidak mengalami kecederaan serius namun menggesa pihak berkaitan memeriksa pokok tua di sekitar kawasan itu.

“Mangsa bernasib baik kerana terkena di bahagian hujung pokok, kalau terkena di pangkalnya, mungkin keadaan menjadi lebih teruk,” ujarnya.

Sementara itu, hampir 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Kangsar membantu memotong pokok dan mengalihkan dahan yang menghempap kereta tersebut.