Oleh:Nazialita Geynna Maharan

BOTA: Sepasang suami isteri dan anak perempuan mereka maut selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah Toyota Hilux di Kilometer 30, Jalan Bota Kanan-Teluk Intan petang Isnin.

Dalam insiden tragis itu, Rohaida Sidak,48, serta anak perempuannya,Nor Syarina Mohd Jamil,19, maut di tempat kejadian manakala suaminya , Mohd Jamil Utok,46, yang cedera parah dan disahkan meninggal pada 10.15 malam tadi ketika mendapatkan rawatan di Hospitl Teluk Intan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata kejadian tersebut turut melibatkan dua mangsa lain, kedua-duanya sepupu masing-masing berusia 29 dan 20 tahun yang menaiki Toyota Hilux di mana kedua-dua mereka mengalami kecederaan di kepala.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati Toyota Hilux yang dipandu dua sepupu ini telah terbabas ke bahagian kanan jalan, lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan dinaiki tiga mangsa.

“Sewaktu kejadian, kenderaan yang membawa tiga beranak dari Kampung Tersusun Balun Bidan, Kampung Gajah itu sedang dalam perjalanan dari Teluk Intan.

“Berikutan rempuhan itu, anak perempuan mereka yang merupakan seorang pelajar Tingkatan Enam serta ibunya, maut di tempat kejadian dan bapa iaitu pemandu dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia sewaktu mendapatkan rawatan,”katanya ketika dihubungi Astro Awani pada Isnin.

Jelasnya, kedua saudara menaiki kenderaan Toyota Hilux yang menetap di Selekoh,Bagan Datuk itu telah dihantar ke Hospital Changkat Melintang dan Hospital Pantai Ipoh bagi rawatan lanjut.

Mohamad Zainal berkata pihaknya menerima panggilan sekitar 5.20 petang berkenaan insiden itu dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.