IPOH: Tiga beranak maut manakala empat orang cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 3.5 Jalan Ipoh-Lumut dekat Puncak Jelapang Maju, di sini awal pagi tadi.

Menurut pegawai penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Inspektor Mohd Shafiq Md Yusob, mangsa Muhammad Syafiq Isyammuddin, 25, dan dua anaknya, seorang lelaki dan perempuan berusia lingkungan setahun dan dua tahun.

Ketiga-tiga beranak itu yang maut di lokasi kejadian dari Hala Jati Meru, Jelapang Jaya.
Manakala isterinya Nurul Nadia Baharizan, 28 yang mengalami cedera parah sedang menerima rawatan di Hospital Raja Pemaisuri Bainun Ipoh.

Tiga lagi mangsa yang cedera parah ialah warga emas, Khalijah Samad, 79, Thean Yew Weng, 25 dan Cheah Chee Choong, 34, dan mereka kini sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.

Beliau berkata, dalam kejadian 1.15 pagi tadi kenderaan Mitsubishi Triton yang dipandu Muhammad Syafiq dari arah Ipoh menghala ke Seri Iskandar telah bergesel dengan sebuah kenderaan jenis Mazda Sedan dari arah bertentangan di satu selekoh di kilometer berkenaan memyebabkan beliau hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

 


Katanya, tindakan pemandu Mazda Sedan yang cuba mengelak telah menyebabkan kenderaannya berpusing melambung lalu bertembung dengan kenderaan yang dipandu Muhammad Shafiq sebelum jatuh semula ke atas jalan.

Menurut beliau, akibat kemalangan itu Muhammad Syafiq dan dua anaknya telah tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia ditempat kejadian.

Mohd Shafiq juga memberitahu, dalam kejadian itu pemandu Toyota Camry yang memandu laju dari arah Setiawan menghala ke Ipoh turut terbabit dalam kemalangan itu .

Pemandu terbabit Thean Yew Weng yang mengalami cederah parah telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk menerima rawatan.
Menurut beliau, polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.