TAIPING – Tiga beranak hari ini mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan kepada dua beradik di Selama sejak dua tahun lalu.

Suri rumah Habibah Mat Desa, 44, serta dua anaknya, iaitu anak perempuan berusia 15 tahun dan anak lelaki berusia 16 tahun, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rohaida Ishak.

Ketiga-tiga tertuduh didapati melakukan penganiayaan sehingga mengakibatkan kecederaan fizikal terhadap Nurul Shahdiana Balkis Abdullah, 6, dan Nurul Shah Liana Shakira, 5, di rumah mereka di Jalan Kampung Anak Rambutan, Sungai Bayur, Selama pada 2015 hingga hujung Julai 2017.

Kesemua mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Safiyatun Ahmadun menawarkan jaminan RM7,000 kepada Habibah, manakala dua anaknya masing-masing diikat jamin RM2,500 seorang. – Bernama