KAMUNTING: Seorang wanita dan dua anaknya rentung apabila rumah mereka di Lorong Merbah, Kampung Sungai Relong di sini terbakar awal pagi Selasa.

Suami mangsa mengalami cedera parah melecur manakala seorang lagi anak mereka dan adiknya yang tinggal serumah mengalami cedera ringan.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Jazmaniza Man, 35 dan dua anaknya Mohd Anaz Rizki Mohd Khairul, 4 dan Nur Aulia Medina, 3.

Mangsa yang cedera pula ialah
Mohd Khairul Ismail, 38, anaknya Muhamad Afiq Aryan, 6 dan Jamal Azman Man, 33.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak, mereka menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 1.20 pagi.

Katanya, apabila jentera A1-30 Kamunting tiba dilokasi kejadian, didapati sebuah rumah kelas C berkeluasan 30X60 sedang terbakar 80 peratus dan terdapat lima orang mangsa di dalam rumah tersebut.

“Seorang lelaki dewasa cedera parah melecur pada bahagian tangan dan belakang dan seorang kanak-kanak lelaki cedera ringan melecur pada bahagian tangan telah dihantar oleh jentera EMRS Kamunting ke hospital,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, mayat ketiga-tiga beranak itu ditemui ketika proses pemadaman dijalankan kira-kira jam 1.35 pagi.

Operasi yang diketuai Penolong Penguasa Bomba Azizan Aziz tamat pada 4.40 pagi.