KOTA BHARU: Tiga buah kedai termasuk sebuah stor butik barangan pengantin hangus dalam kebakaran di Pasar Ketereh, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.12 malam tadi, stor barangan pengantin milik Detik Indah Bridal rosak teruk terutama di bahagian bumbung manakala dua lagi kedai iaitu kedai makan dan kedai gambar hangus seratus peratus, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Pemilik butik, Nora Elira Mat Noor, 39, berkata beliau sedang menyolek pelanggannya di Limbat, Melor untuk majlis akad nikah ketika menerima panggilan mengenai kebakaran di kedainya.

Katanya, walaupun terkejut beliau terpaksa menggagahkan diri menyudahkan kerja sebelum bergegas ke kedai.

“Sebaik tiba, saya lihat api sudah marak dan penduduk membantu mengeluarkan semua barangan pengantin saya,” katanya ketika ditemui di Kedai Ketereh di sini, malam tadi.

Nora berkata, kebakaran turut memusnahkan pintu gerbang yang baru disiapkan dan beberapa alatan perkahwinan bagi majlis Isnin nanti.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana api tidak merebak merebak ke satu lagi kedai bersebelahan milik saya, yang menempatkan pakaian pengantin.

“Kerosakan di stor tak teruk kerana banyak peralatan sudah ditempatkan di rumah beberapa pengantin yang menempah untuk majlis pada cuti sekolah kali ini,” katanya yang menjalankan perniagaan butik pengantin sejak 12 tahun lalu.

Pemilik kedai gambar, Ramli Jaafar, 50, pula berkata ketika kejadian beliau berada di dalam kedai sebelum dimaklumkan jiran yang ternampak api dari tingkat dua kedai gambarnya.

Katanya, beliau cuba memadamkan kebakaran dengan dua alat pemadam api namun gagal kerana api cepat marak kerana kedainya diperbuat daripada kayu.

Sementara itu, Penguasa Bomba Zon Kota Bharu, Abu Hassan Mohd Nawi, berkata pihaknya menerima panggilan jam 8.12 malam dan tiba di lokasi pada jam 8.18 malam.

Katanya, sebanyak tiga buah jentera dari Balai Bomba Ketereh, Tunjung dan Kota Bharu serta satu jentera bomba tentera dari Kem Desa Pahlawan dengan 21 anggota terbabit dalam operasi memadankan api.

Tambah beliau, mereka turut dibantu oleh 20 anggota Persatuan Bomba Sukarela (PBS) Pasir Tumbuh, Ketereh dan Kota Bharu, lima anggota tentera serta lima anggota polis.

“Kita berjaya mengawal kebakaran jam 8.50 malam dan api padam sepenuhnya 40 minit kemudian iaitu jam 9.30 malam,” katanya yang turut memaklumkan punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan – berita harian