IPOH-Tiga calon mewakili parti dalam gabungan Pakatan Harapan telah dikenalpasti untuk dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Perak.

Menteri Besar YAB Ahmad Faizal Azumu bagaimanapun tidak menyebut nama tiga calon itu kerana ia masih dalam peringkat pemilihan.

“Kita akan berjumpa pada 3 Julai untuk buat pilihan antara nama-nama itu, buat undian, angkat sumpah diikuti pembukaan Sidang Dewan yang akan dilakukan pada 6 Ogos.

“Pihak kami dah kenal pasti calon dari Pakatan Harapan dan saya percaya pihak sebelah sana juga akan menamakan calon mereka,”katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita di majlis serahan RM 500,000 untuk Tabung Harapan oleh Unisem Group di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.

Mengulas mengenai sumbangan itu, katanya jumlah semasa sumbangan itu mencecah hampir RM 5 juta.

“Tabung Patriotik kita sudah ada RM 150,000 manakala Tabung Harapan yang kita salurkan kepada Kerajaan Pusat kini boleh dikatakan mencecah RM 5 juta,”ujarnya.