TELUK INTAN: tiga sekeluarga termasuk kanak-kanak berusia 9 tahun tercedera selepas kenderaan mewah yang dinaiki bertembung dengan seekor Kerbau di Kilometer 12 Jalan Changkat Jong, di sini semalam.

Kerbau yang dilanggar berkenaan juga turut melambung dan menghempap bahagian bumbung kenderaan jenis Porsche Cayenne berkenaan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar, berkata dalam kejadian sekitar jam 9 malam itu, ketiga-tiga mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.

“Mangsa dalam perjalanan dari Teluk Intan menghala ke Langkap, tiba di tempat kejadian dipercayai telah terlanggar seekor kerbau yg sedang melintas jalan.

“Akibat kemalangan kerbau mati ditempat kejadian, semua mangsa hanya mendapat cedera ringan dan dirawat di Pusat Rawatan Anson Bay,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, kemalangan berkenaan turut menyebabkan kenderaan mewah itu remuk di bahagian hadapan dan bumbung yang bertingkap pecah.

Mangsa yang terlibat ialah Teoh Sook Hua (pemandu), Phang Fei Jiang (penumpang hadapan) masing-masing berusia 30an dan Jannice Phang Jing Xuen,9.

Susulan kejadian itu, Mohd Marzukhi mengesa penternak haiwan supaya lebih berhati-hati.

“Saya nasihatkan jaga haiwan itu betul-betul, tidak sepatutnya membiarkan bebas bergerak. Ini tanggungjawab sosial penternak haiwan peliharaan,” ujar beliau.