Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: ” Tiga inci lagi, kipas itu mungkin terkena leher anak saya dan boleh membawa maut,” luah seorang bapa, Sam Yau Seng.

Anaknya, Sam Ming Hui, 18, seorang pelajar tingkatan enam rendah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Michael di sini cedera di pipi kiri akibat terkena kipas siling dalam bilik darjah yang terjatuh pada Rabu.

Dalam kejadian sekitar 9.30 pagi itu, Ming Hui sedang mengikuti kelas Pengajian Am sebelum terlibat dalam insiden yang menggemparkan seluruh kelasnya.

0a457929-58f5-4d00-9281-c1c654e4d86d

Ketika ditemui, pelajar itu berkata dia sempat mendengar bunyi ‘klik’ dari kipas tersebut sebelum ia tiba-tiba terjatuh.

“Saya terkejut dan terus rasa pedih pada pipi kiri.

“Saya tekap luka dengan tisu dan dibawa ke bilik pengetua sebelum bapa membawa saya ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya ketika ditemui sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta, di sini hari ini.

Ming Hui berkata, insiden tersebut membuatkannya berasa agak trauma untuk melihat kipas siling kerana masih terkejut.

Bapanya pula memberitahu, beliau menerima panggilan daripada pengetua sekolah yang memaklumkan mengenai kejadian itu sekitar 10 pagi.

Yau Seng yang bekerja sebagai mekanik itu kemudian bergegas ke sekolah untuk melihat keadaan anak sulungnya itu.

“Sebaik sahaja sampai, saya dapat melihat luka di pipi anak saya kira-kira lima sentimeter panjang dan segera membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” jelasnya.

Katanya, sukar baginya untuk membayangkan kemungkinan sekiranya kipas itu mengenai anggota badan lain yang boleh membawa kepada kecederaan serius atau kematian.

“Bayangkan, dua inci lagi mungkin kena mata dan dia boleh menjadi buta. Jika tiga inci lagi mungkin kena leher serta boleh membawa maut,” ujarnya ketika ditemui pemberita.

Yau Seng berharap pihak sekolah sentiasa menyelenggara peralatan elektrik atau peralatan lain bagi mengelakkan kejadian sama daripada berulang.

c3336a7b-80ae-4443-9281-8b54ee449e8fSementara itu, Pengetua SMK St. Michael, T. Gunalan berkata, siasatan awal mendapati kipas berkenaan terjatuh berpunca daripada skru pengikat kipas yang patah di dalam peralatan elektrik tersebut.

“Susulan kejadian ini, pihak sekolah memeriksa semua kipas di sekolah malah menukar kipas baharu di kelas tersebut dan melaksanakan pemeriksaan lanjut esok (Khamis).

“Kipas yang jatuh ini dipercayai sudah 10 tahun digunakan namun kita sentiasa menyelenggara segala peralatan elektrik dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin,” katanya.