PARIT – Tiga pengawal keselamatan sekolah antara 111 individu yang ditangkap polis daerah Perak Tengah kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah sepanjang bulan lalu.

Dua lelaki berusia 21 tahun dan seorang 27 tahun yang diberkas pada 27 Mac lalu itu masing-ma­sing positif dadah methamphetamine menerusi pemeriksaan sa­ringan air kencing yang dilakukan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, pemeriksaan badan terhadap ketiga-tiga penagih dadah itu bagaimanapun tidak menjumpai barang terlarang selain tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Menurutnya, kertas siasatan terhadap ketiga-tiga lelaki itu dibuka mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Dalam operasi itu juga kita telah menangkap seorang penjawat awam yang merupakan pemandu sebuah jabatan kerajaan dan seorang pelajar institusi pe­ngajian tinggi.

“Kedua-dua mereka masing-masing disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya di sini hari ini.

Mohamad Zainal memberi­tahu, dalam operasi itu, seba­nyak 16.6 gram dadah jenis heroin bernilai RM583.10 dirampas selain 27 gram syabu (RM4,050), 0.45 gram ganja (RM18), 5.5 liter air ketum (RM82.5) dan daun ketum seberat 15 kilogram bernilai RM450.