SEREMBAN: Seorang pemilik kedai dobi yang sentiasa membersihkan najis yang disangka perbuatan anjing di luar premisnya, terkejut bahawa ia sebenarnya adalah tindakan seorang remaja perempuan.

Pemiliknya, Datuk Adzwan Ab Manas menyedari perkara tersebut menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) selepas mendapati masih terdapat najis buat kali ketiga di luar kedainya di Lobak, dekat sini.

“Saya sangat yakin ia disebabkan anjing, tapi saya terkejut melihat seorang remaja perempuan ‘membuangnya’ di tempat yang sama,” katanya pada Khamis.

Adzwan berkata, apa yang lebih menghairankan apabila remaja tersebut turut bersama seorang wanita dewasa yang mengawasi keadaan sekeliling.

“Saya periksa rakaman sekali lagi dan mendapati remaja yang sama membuang air di tempat sama dalam dua kejadian berasingan bulan lepas, turut terdapat wanita berkenaan,” katanya sambil menambah remaja terbabit pernah membuang air dengan memakai pakaian seragam sekolah.

Kejadian berlaku antara pukul 1.30 petang dan 3.45 petang.

Adzwan yang kecewa dengan insiden itu kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Seremban 2 pada petang Khamis.

“Saya harap polis dapat mengesan pelaku dan seorang wanita, dan mengambil tindakan terhadap mereka kerana melakukan perbuatan yang menjijikkan dan tidak senonoh,” katanya.

Adzwan berkata, dia mengusahakan kedai dobi itu sejak tiga tahun lepas dan tidak pernah mengalami pengalaman yang menjijikkan itu.
Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/10/05/buang-najis/#jMgvLb4KL0wqjLm9.99