BALING: Seorang lelaki berumur 41 tahun ditahan, awal pagi tadi, disyaki berulang kali merogol anak saudaranya berusia 14 tahun sebelum mangsa nekad membuat laporan polis.

Mangsa yang juga pelajar sebuah sekolah menengah di sini mendakwa sudah tiga kali dirogol bapa saudaranya dikenali sebagai ‘Pak Tam’ sejak berusia sembilan tahun, dengan kejadian terbaru berlaku petang semalam.

Sebelum ini, mangsa dari Kampung Tandop Pisang, Parit Panjang di sini, dikata bimbangkan keselamatan diri selepas suspek didakwa mengugut membunuhnya jika mendedahkan perbuatan terkutuk itu kepada sesiapa, termasuk ahli keluarga.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusof, berkata mangsa dalam laporan semalam mendakwa suspek memasuki rumahnya kira-kira jam 3 petang dan tergamak merogolnya yang bersendirian ketika itu kerana ahli keluarga lain keluar bekerja, walaupun pada Ramadan.

“Akibat terlalu takut dan tidak tahan dengan perbuatan itu, mangsa kemudian membuat aduan di Balai Polis Kupang pada jam 8.45 malam tadi.

“Kita merakam percakapan daripada mangsa mengikut Seksyen 122 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ). Menurut mangsa, dia mengenali lelaki melakukan angkara itu,” katanya.

Berikutan laporan polis itu, beliau berkata, sepasukan anggota menahan suspek di rumahnya kira-kira jam 1.30 pagi tadi sebelum ujian saringan air kencing terhadap lelaki itu didapati negatif.

“Kita juga meminta bantuan D10 Ibu Pejabat Kontinjen Kedah untuk menyiasat di tempat kejadian.

“Hasil siasatan awal Unit Forensik menemukan beberapa corak dipercayai air mani dan baju suspek.

“Kita sudah mendapat perintah tahanan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan,” katanya.

Shariffuddin berkata, mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, untuk rawatan lanjut – berita harian