KUANTAN: Tiga kanak-kanak termasuk dua beradik ditemukan lemas di dalam sebuah kolam takungan bekas perlombongan bauksit di Taman Sungai Karang Jaya, di sini pada petang Sabtu.

Dalam kejadian sekitar 5.45 petang itu, mangsa , Sasabella Zulhairi, 12, dan adiknya, Mahathir Mohamad, 7, serta Nureen Ain Juwita Mohd. Sharif, 10, ditemui maut di sekitar kawasan perlombongan tersebut.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri, Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 5.55 petang dan enam anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, kami mendapati dua mangsa telah dibawa naik dari kolam itu oleh orang awam manakala seorang lagi mangsa ditemukan tidak lama selepas itu,”katanya.

Anuar berkata mayat ketiga-ketiga mangsa itu kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi tujuan bedah siasat.