TIGA kedai di Pasar Jinjang Utara, Jalan Tiater, Kuala Lumpur musnah dalam kebakaran, awal pagi hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPPM) Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 1.12 pagi.

Katanya, seramai 42 anggota bomba membabitkan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang, Sentul dan Hang Tuah dengan bantuan pasukan bomba sukarela dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati api sedang marak. Anggota bomba mengambil masa hampir satu jam untuk memadamkan kebakaran itu,” katanya.

Khirudin berkata, kebakaran itu membabitkan tiga premis iaitu kedai runcit, kedai ayam dan kedai plastik.

“Api begitu marak berikutan terdapat barangan plastik termasuk beg plastik dan botol minuman di sebuah daripada tiga kedai berkenaan, namun berjaya dikawal.

“Tiada mangsa dalam kejadian berikutan premis ditutup. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya – hmetro