TELUK INTAN: Dua orang kanak-kanak menjadi anak yatim dalam sekelip mata apabila bapa mereka maut dalam sebuah kemalangan yang membabitkan sebuah keluarga di Kilometer 22, Jalan Teluk Intan-Bidor lewat malam Rabu.

Dalam kejadian sekitar 10.30 malam itu, anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Ridzwan Tarmizi,33, maut di tempat kejadian manakalanya isteri serta dua orang anaknya cedera parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superitendan Wan Jamil Wan Chik  berkata, kejadian berlaku apabila sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux hilang kawalan lalu merempuh bahagian depan kenderaan mangsa.

“Berikutan rempuhan itu, mangsa di dalam kenderaan Toyota Ipsum mengalami kecederaan parah, termasuk dua orang anak mangsa berusia 3 dan 7 tahun, serta isteri mangsa yang mengalami kecederaan patah kaki.

“Kesemua mangsa dirawat di Hospital Teluk Intan dan pada jam 1.24 pagi, Ridzwan yang memandu Toyota Ipsum disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan,” katanya.

Wan Hassan berkata pihaknya telah menahan pemandu kenderaan Toyota Hilux yang berusia 23 tahun bagi membantu siasatan tersebut.

Sementara itu, di Tapah, seorang lelaki maut apabila terlibat dalam sebuah kemalangan jalan raya di Kilometer 324.3 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke utara pada malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Asisten Komisioner Som Sak a/l Din Keliaw berkata, dalam kejadian sekitar 9.20 malam, kenderaan yang dipandu Yong Chi Yong, 23, telah merempuh bahagian belakang sebuah kenderaan lain, menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.

Dalam satu lagi kemalangan di Sitiawan yang berlaku pada awal pagi Khamis, seorang lelaki maut dalam insiden yang membabitkan dua buah kenderaan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, A. Vikneshwaran, 26, maut manakala dua rakannya cedera parah apabila Proton Wira yang mereka naiki hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori.

Ketiga-tiga kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.