TAPAH 6 Mei – Tiga buah kenderaan dan empat motosikal musnah dalam kebakaran yang turut memusnahkan sebuah rumah di Jalan Kampung Tersusun di Air Kuning dekat sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 7.50 petang itu bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, operasi itu melibatkan pegawai dan anggota dari dua balai iaitu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah dan Teluk Intan dengan dibantu Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) Langkap dan Teluk Intan.

Katanya, semasa anggota tiba di lokasi kejadian, didapati rumah kelas B itu sedang marak terbakar dengan kemusnahan lebih 90 peratus termasuk empat buah motosikal.

“Kebakaran itu turut mengakibatkan sebuah Toyota Hilux dan trak masing-masing musnah terbakar 70 peratus manakala kereta Perodua Kancil pula sebanyak 10 peratus.

“Operasi pemadaman segera dilakukan menggunakan satu aliran sepanjang tiga meter dari setiap jentera sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya. Operasi tamat pada pukul 9.40 malam,” katanya di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE