IPOH – Tiga kerusi Dun di Perak iaitu Hulu Kinta, Sungai Manik dan Tualang Sekah dijangka sengit pada PRU kali ini.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, ketiga-tiga kerusi itu mempunyai jumlah peratusan pengundi Melayu kurang 70 peratus dan sokongan terhadap Harapan meningkat.

Katanya, berdasarkan kajian Invoke, kerusi yang mempunyai kurang 70 peratus pengundi Melayu mempunyai potensi untuk dimenangi oleh Harapan.

“Seperti di Dun Hulu Kinta kita mendahului (dari segi sokongan). Di Dun Sungai Manik dan Tualang Sekah kita ketinggalan sedikit sahaja.

“Di Perak ini, kita ada tujuh, lapan kerusi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu yang kurang 70 peratus. Jadi Pakatan Harapan hanya perlukan tiga lagi kerusi untuk menang di Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Pelancaran Jentera N28 Hulu Kinta di Bandar Baru Putra, di sini, hari ini.

Rafizi berkata, kesemua kerusi itu merupakan kerusi Dun yang akan ditandingi PKR, Amanah dan Bersatu manakala DAP dijangka mudah mengekalkan kemenangan di semua kerusi sedia ada mereka.

BERITA BERKENAAN : Pengundi Baru Teruja Untuk Laksana Tanggungjawab Pertama Kali