SITIAWAN: Tiga lagi balai bomba baru akan dibina bagi meningkatkan keupayaan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengatasi sebarang bencana termasuk kes kebakaran di kawasan berkenaan.

Pengarah JBPM Perak, Datuk Yahaya Madis berkata, perancangan pembinaan balai baru itu membabitkan tiga lokasi di Tambun, Kampung Gajah dan Bandar Baru Kampar.

Menurut beliau, lokasi dan tapak sudah dikenalpasti, namun ia masih menunggu kelulusan serta peruntukkan.

Di samping itu, kata beliau, pihaknya juga merancang untuk menaik taraf balai sedia ada, antaranya di Pantai Remis, Lenggong, Kampar, Tanjung Malim, Slim River dan Bangan Serai.

“Pembinaan balai baru adalah berdasarkan kepada risiko seperti di kawasan perindustrian, mempunyai bangunan tinggi, penempatan padat dan jarak dengan balai sedia ada,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bangunan Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perak, di sini, pada Khamis.

Hadir sama Timbalan Pengarah JKR Perak, Ir Abu Bakar Mohamed Said; Jurutera JKR Daerah Manjung, Ir Haslina Mohd Isa dan Ketua BBP Sitiawan Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zaki Zainol.

Projek pembinaan dan baik pulih bangunan BBP Sitiawan yang berusia 45 tahun di tapak asal itu membabitkan kos lebih RM 2.7 Juta dalam tempoh dua tahun dan siap sepenuhnya pada 31 Oktober, lalu.