IPOH: Tiga lagi pelajar Kolej Vokasional Teknik, Teluk Intan disahkan mengalami gejala seperti penyakit Influenza (ILI) pada Khamis.

Kes itu menjadikan lapan kes dikesan di sekolah berkenaan yang juga kluster terbaru dikesan gejala itu sejak Rabu.

Dengan tiga kes terbaru itu, jumlah keseluruhan pelajar dijangkiti gejala itu di Perak setakat ini seramai 520 orang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, tiga pelajar Kolej Vokasional Teknik, Teluk Intan berkenaan diasingkan dalam bilik pengasingan asrama kolej berkenaan untuk menerima rawatan.

“Tiada pelajar yang mendapatkan rawatan di hospital setakat ini.

“Berikutan cuti sekolah akan bermula pada hujung minggu ini, pelajar berkenaan disaran untuk berehat di rumah masing-masing,” katanya ketika dihubungi di sini. – myMetro