KUALA KANGSAR – Tiga lelaki mengalami kecederaan apabila kereta yang dinaiki merempuh bahagian belakang sebuah treler di KM258.6 Lebuhraya Utara-Selatan, dekat sini pagi tadi.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar mengesahkan menerima panggilan pada jam 5.53 pagi sebelum menghantar pasukan anggota ke lokasi.

“Setibanya di tempat kejadian, didapati tiga lelaki India terlibat dalam kemalangan tersebut.

“Kereta Proton Saga yang dinaiki mereka telah merempuh bahagian belakang sebuah treler yang membawa muatan bijih besi.

“Pemandu kereta didapati tersepit dan mengalami kecederaan di bahagian muka.

 

“Dua lagi mangsa mengalami kecederaan ringan ringan dan dikeluarkan oleh orang awam,” ujar beliau ketika dihubungi Suara Perak.

Menurut beliau, ke semua mangsa berusia dalam lingkungan 30-an.

Pasukan bomba Kuala Kangsar dibantu oleh Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya telah bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan ‘rescue tools’ dan stretcher.

“Ketiga-tiga mangsa diserahkan kepada pasukan perubatan hospital yang hadir dan dihantar ke Hospital Kuala Kangsar dengan menaiki ambulans untuk mendapat rawatan lanjut.

“Operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Abdul Aziz Mohd Nor dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6.35 pagi.