Oleh:Nazialita Geynna Maharan

GERIK: Polis menahan tiga orang suspek bagi membantu siasatan berkenaan mayat seorang lelaki yang ditemui terbaring di dalam hutan berhampiran Hentian Rewat dan Rawat (R&R) Bintang Hijau, Jalan Kupang di sini pada petang Khamis.

Dalam kejadian sekitar pukul empat petang (Khamis) itu, mayat mangsa, Mohamad Haniff Mat Zabidi, 24, ditemui oleh orang awam yang terlibat dalam gerakan mencari setelah mangsa tidak pulang ke rumah sejak Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superitendan Ismail Che Isa berkata buat masa ini pihaknya telah menahan tiga orang suspek susulan penemuan mayat mangsa berkenaan.

Jelasnya,sebelum ini pihak polis dimaklumkan oleh ahli keluarga bahawa mangsa telah pergi ke hutan berhampiran untuk memburu namun tidak balik sejak Ahad.

“Mayat mangsa ditemui oleh orang ramai yang mencarinya dan mayat terebut telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun bagi lanjutan proses bedah siasat,”katanya ketika dihubungi Astro Awani.

Katanya, susulan penahanan tiga orang suspek berkenaan kes akan terus disiasat secara lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, abang mangsa, Mohd Hazwan, 29 memberitahu aktiviti memikat burung merupakan hobi kegemaran adiknya dan ini bukan kali pertama mangsa pergi ke hutan berhampiran untuk tujuan itu.

“Saya tidak tahu mengenai kejadian adik saya hilang sejak Ahad lepas, sehinggalah saya pulang ke rumah di Kampung Charok Kapas, Baling bagi menguruskan jenazah ibu tiri yang meninggal pada Rabu lepas.

Menurut Hazwan, motosikal adiknya turut ditemui dalam lokasi agak jauh dari lokasi mayat ditemui.

“Rasanya, adik saya meninggalkan motornya di situ dan masuk ke hutan dengan berjalan kaki untuk memikat burung malah sehingga sekarang, kami sekeluarga tidak mengetahui sama ada dia masuk ke hutan itu berkumpulan atau berseorangan kerana dia tidak memaklumkannya sebelum masuk,” ujarnya lagi.

Jenazah mangsa yang merupakan anak kelima daripada enam beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Charok Kapas di Baling selepas solat Asar.

Difahamkan, satu sumber memberitahu, bedah siasat yang dijalankan menemui kesan tembakan di bahagian kepala mangsa.