BAGAN SERAI – Tiga lelaki termasuk seorang warga Thailand ditahan polis selepas membawa enam ekor ular tedung senduk yang diletakkan di dalam enam bekas kayu, dalam satu operasi di Jalan Selama berhadapan Sekolah Kebangsaan Matang Jelutung di sini awal malam tadi.

Dalam Ops Khazanah yang dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian dengan kerjasama Jabatan Perhutanan serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada pukul 7.05 malam itu, ketiga-tiga lelaki tersebut ditahan ketika menaiki kereta jenis Proton Saga dari Alor Pongsu ke Bagan Serai yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar berkata, selepas pemeriksaan terhadap kereta tersebut, terdapat enam kotak kayu berwarna kelabu ditemui di dalam kenderaan mereka.

“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat enam ekor ular tedung senduk yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran.

“Ketiga-tiga suspek yang berusia antara 27 hingga 40 tahun itu ditahan untuk siasatan dan kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen dari Perhilitan bagi memiliki haiwan tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Tambah Omar, kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasat dari Perhilitan Perak dan disiasat mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. – K! ONLINE