SERDANG: Tiga lelaki yang memecah masuk dan menyamun di sebuah rumah di Bandar Kinrara, di sini, tidak sempat menikmati hasil curi apabila dicekup polis dalam tempoh kurang 24 jam melakukan kegiatan itu, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah malam itu, tiga lelaki bersenjatakan parang memasuki sebuah rumah di Bandar Kinrara, di sini, sebelum melarikan beberapa barangan kemas dan sebuah kereta Toyota Camry.

Ketua Polis Daerah Serdang, Datuk Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, kejadian disedari mangsa yang juga suri rumah berusia 42 tahun ketika berada di dapur.

“Suspek melarikan beberapa barangan kemas dan sebuah kereta Toyota Camry milik mangsa sebelum melarikan diri menggunakan sebuah PERODUA Myvi.

“Mangsa kemudian membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Bandar Kinrara, di sini, untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Megat Mohamad Aminuddin berkata, berdasarkan laporan diterima, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 20-an di Jalan PJS 8/17, Petaling Jaya, dan merampas sebuah kereta Nissan Almera jam 4.30 petang.

“Hasil tangkapan itu, kami manahan seorang lagi suspek yang juga berusia 20-an di sebuah stesen minyak di Taman Bandar Kinrara, di sini.

“Kami juga berjaya menemukan semula kereta Toyota Camry milik mangsa yang diletakkan suspek di tempat letak kenderaan di Jalan PJS 9/1 Bandar Sunway,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menahan suspek ketiga berusia lingkungan 20-an di sebuah pangsapuri di Petaling Jaya dan merampas sebuah kereta Perodua Myvi yang digunakan ketika melakukan kegiatan terbabit.

“Dalam serbuan itu, kami turut merampas rantai dan anting-anting emas, beg galas, beg tangan, telefon bimbit, komputer riba, kunci kenderaan serta sejumlah wang tunai dipercayai hasil kegiatan itu.

“Ketiga-tiga suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu dan ditahan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut,” katanya – berita harian