Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Mahkamah Majistret Ipoh hari ini membebaskan dengan jaminan tiga lelaki termasuk seorang warga Pakistan yang direman pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan rasuah.

Ketiga-tiga mereka disyaki terlibat dalam kes rasuah membabitkan urusan memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Majistret Nur Melati Diana Abd Wahab memerintahkan warga Pakistan itu dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM3,000 dengan dua orang penjamin manakala dua lelaki tempatan masing-masing diikat jamin RM9,000 dan RM4,000 juga dengan dua orang penjamin.

Sebelum ini, ketiga-ketiga lelaki berkenaan direman selama enam hari mulai 28 April bagi membantu siasatan kes itu.

Menurut sumber SPRM, lelaki warga Pakistan berumur 46 tahun ditahan di sekitar Tasek di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada 27 April lepas.

Sementara itu, dua lagi rakyat tempatan berumur 57 tahun dan 49 masing-masing ditahan di sebuah restoran di Meru Raya dan di sekitar Batu Gajah pada pukul 8.10 malam dan 12.30 tengah hari.

Sumber SPRM memaklumkan ketiga-tiga lelaki berkenaan bertindak sebagai ejen dan orang tengah dengan menawarkan wang rasuah beberapa kali kepada kakitangan MyEG Services Bhd (MyEG) supaya proses penerimaan PLKS pekerja asing boleh dilakukan tanpa mengikut prosedur ditetapkan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009.