KUALA KANGSAR: Keakraban dua beradik dan adik saudara mereka berakhir sehingga ke liang lahad, apabila ketiga-ketiga mereka yang maut dalam nahas jalan raya di Jalan Kuala Kangsar berhampiran stesen penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan, dikebumikan dalam satu liang lahad.

Hamdan Al Fikri Mat Baki dari Kampung Beluru, 57, bapa kepada dua beradik yang maut, Muhammad Asyraf,27, dan Muhammad Irfan,17, redha dengan ketentuan Ilahi yang menjemput kedua-dua anaknya sekaligus.

Pertemuan tiga hari lepas menjadi detik terakhir buat Hamdan melihat wajah kedua orang anaknya, memandangkan dia bekerja sebagai pemandu treler.

“Mereka bertiga memang baik, sangat rapat.. walaupun beza umur jauh tapi boleh rapat, Muhammad Amirul Fahmi kira pangkat adik saudara kepada anak-anak saya.

“Semasa kejadian saya tiada di rumah sebab bekerja sebagai pemandu treler, tiga hari sebelum kejadian kali terakhir saya jumpa mereka, anak saya Muhammad Irfan ada buat majlis bacaan Yasin sempena SPM di sekolah Pangkor dan saya minta dia bawa maknya pergi,” katanya ketika ditemui pemberita.

Dalam pada itu, Hamdan berkatam tiada sebarang perubahan ketara yang ditunjukkan oleh kedua-kedua anaknya melainkan sikap Muhammad Irfan yang cenderung menjadi pendiam di sekolahnya.

“Tak nampak perubahan tetapi saya difahamkan oleh gurunya dari Pangkor yang dua minggu kebelakangan ini dia tidak suka bergurau dan jadi pendiam, dia jenis suka bergurau.

“Saya ada rancangan untuk dia (Muhammad Irfan) disebabkan dia masih belum ada lesen motosikal, cadangnya lepas habis SPM nak suruh dia ambil lesen,” ujarnya.

Sementara itu, Samsudin Yusuf, 46, bapa kepada Muhammad Amirul Fahmi,12, ketika ditemui turut mengakui keakraban yang ditunjukkan oleh mereka selama ini.

“Mereka memang rapat, ke mana pun sebab anak saudara saya (Muhammad Asyraf) bekerja sebagai pemandu lori, bila dia balik saja atau cuti mesti datang ke rumah dan ambil anak saya bawa jalan… makan-makan.

“Tak sangka jadi macam ini, malam itu memang mereka nak pergi makan di pekan Kuala Kangsar, dia (Muhammad Amirul Fahmi) ada beritahu saya tentang itu.

“Perubahan pada anak saya dia macam tak mahu bercakap dengan saya dalam dua tiga hari, tak tahu kenapa… dia rapat dengan saya tapi perangainya buat saya pelik,” kata Samsudin.

Tambahnya, Muhammad Amirul Fahmi ada menyatakan hasrat untuk tinggal di asrama pada tahun hadapan, setelah selesai menghadapi UPSR.

“Dia bersemangat dan kata mahu duduk asrama di Sekolah Simpang Beluru tahun hadapan, saya kata padanya okeylah kalau begitu,”katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam semalam, kenderaan yang dinaiki mangsa dirempuh treler daripada belakang di Batu 18, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berdekatan Kampung Jamuan, Kota Lama Kiri.

Rempuhan tersebut menyebabkan kereta mangsa terperosok di bawah lori dan terseret sehingga ke dalam longkang manakala kepala lori tersangjut di kabel elektrik bervoltan tinggi.