Oleh:Nazialita Geynna Maharan


SITIAWAN: Tiga lelaki maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan yang membabitkan sebuah kereta dan lori kren di Taman Seri Kayan, Lekir, dekat sini, pada malam Selasa.

Kejadian sekitar jam 10.30 malam itu melibatkan mangsa yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 62 tahun.

Ketua Pegawai Operasi Manjung, Pegawai Bomba Kanan II, Ashaari Mat Radzi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden tersebut sekitar pukul 10.56 malam dan bergegas ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi kami mendapati berlaku sebuah kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Altis dan lori kren milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Pemerhatian awal mendapati kenderaan tersebut merempuh bahagian tengah lori kren berkenaan yang sedang membelok ke kanan.

“Impak rempuhan menyebabkan tiga mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan dua lagi lelaki turut cedera parah,” katanya ketika dihubungi Suara Perak.

Ashaari berkata, dua mangsa tersepit di bahagian hadapan manakala tiga mangsa lain berada di tempat duduk belakang.

Jelasnya, seorang yang parah di bahagian belakang telah dikeluarkan oleh orang awan dan dihantar ke hospital sebelum pihaknya tiba.

“Mangsa yang parah dihantar ke Hospital Seri Manjung manakala yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya lagi.

Tambah beliau, operasi mengeluarkan mangsa tersepit mengambil masa lebih daripada sejam dan tamat sekitar 12.30 pagi.