KUALA NERUS: Tiga maut, manakala tiga lagi cedera parah dalam nahas membabitkan dua kenderaan di simpang Felda Belara di sini, malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu membabitkan sebuah kereta Proton Iswara dan sebuah Proton Wira.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Kamarulzaman Asdi, 24, dari Kampung Gerdung, Hulu Terengganu; pelajar Institut Kemahiran Mara Johor yang berasal dari Kampung Gong Bayor, Besut, Che Wan Hasbullah Che Wan Zubaidi, 22, dan Syarifuddeen Sobree, 22, dari Pengkalan Kubor, Kelantan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Proton Iswara dinaiki Che Wan Hasbullah dan Syarifuddeen bersama seorang lagi rakan dalam perjalanan ke Kelantan bertembung dengan Proton Wira dinaiki Mohd Kamarulzaman dan dua lagi rakan.

Pertembungan kuat menyebabkan Proton Iswara itu terjunam ke cerun sedalam kira-kira tiga meter, manakala Proton Wira terbabas ke bahu jalan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus, Pegawai Bomba Tinggi Yusman Yusof, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian jam 10.48 malam.

Beliau berkata, dua jentera dan satu Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 17 pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu serta Kuala Nerus dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kita dapati kereta Proton Iswara terbabas ke dalam cerun, manakala Proton Wira terbabas ke bahu jalan dan kedua-dua kenderaan remuk teruk.

“Mangsa yang tersepit dalam kenderaan dikeluarkan dengan bantuan bomba dan tiga mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, dan mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pihaknya selesai menjalankan kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa yang tersepit pada jam 12.51 pagi tadi – berita harian