GERIK : Seorang kanak-kanak berusia dua tahun menjadi yatim piatu dalam sekelip mata setelah ibu bapanya serta abangnya maut dalam sebuah kemalangan tragis yang melibatkan sebuah kenderaan dan lori treler di Kilometer 59, Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli, di sini pada petang Ahad.

Dalam insiden sekitar 4.30 petang, bapa kanak-kanak malang itu, Mohd Nizam Suhaidin, 34, dan ibu Nurhafizah Ismail, 34 serta Mohd Afiq Mohd Nizam, 6 maut di tempat kejadian.

Turut terkorban dalam kemalangan itu adalah pemandu lori treler yang membawa muatan balak, Redzuan Abd Ghani, 59.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superitendan Ismail Che Isa kemalangan berlaku apabila lori treler itu hilang kawalan di selekoh lalu terbabas sebelum berpusing dan memasuki laluan bertentangan.

Menurut beliau kenderaan yang dinaiki satu keluarga itu bertembung dengan lori treler tersebut menyebabkan tiga penumpangnya maut serta merta.


“Seorang lagi anak pasangan tersebut, Nur Hanania Maisara, 2 tahun mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Gerik.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati lori treler sedang dari arah Jeli ke Gerik bertembung dengan kenderaan membawa empat beranak itu,” katanya.

Menurut Ismail, kes akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.