TAIPING – Tiga wanita maut manakala seorang lagi cedera parah apabila kenderaan jenis Myvi yang mereka naiki terbabas di KM 230 Lebuh Raya Utara Selatan (Arah Utara), berhampiran Taiping pada Rabu.

Tiga wanita berusia lingkungan 20 dan 40 tahun itu maut di tempat kejadian manakala seorang lagi wanita berusia lingkungan 20 tahun cedera parah.

Ketua Operasi dari Balai Bomba Taiping, Mohd Hisyam Othman berkata, kejadian kira-kira pukul 2.05 petang itu berlaku apabila kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan tengah lebuhraya berkenaan.

“Hasil siasatan awal didapati kereta itu sedang menghala ke utara dipercayai telah dipandu secara melulu pada lorong kanan dan  hilang kawalan.

“Kereta tersebut telah melanggar pembahagi jalan tengah lalu mengelongsor dan terbabas ke bahu kiri jalan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Menurut beliau, kesemua mangsa tercampak keluar daripada kenderaan dan kereta tersebut terbakar akibat percikan petrol.

Tambah beliau, kesemua identiti mangsa tidak dikenal pasti kerana dokumen peribadi milik mangsa dipercayai turut terbakar.

Mangsa yang cedera parah kini sedang mendapat rawatan di sebuah Hospital dan berada dalam keadaan tidak sedar diri.