TAPAH – Tiga maut setelah tercampak keluar dari kereta manakala dua lagi cedera dalam kemalangan melibatkan pelanggaran antara sebuah kereta dengan sebuah bas ekspres dalam satu kejadian di KM307 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, dekat sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintenden Ng Kong Soon berkata kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.30 pagi itu melibatkan sebuah kereta Toyota Vios yang dinaiki oleh lima orang dan sebuah bas ekspres dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Alor Setar.

“Siasatan awal mendapati kereta tersebut dalam perjalanan menuju ke Ipoh dari Kuala Lumpur.

“Apabila sampai di tempat kejadian, Toyota Vios itu mengalami tayar pecah di bahagian belakang kiri lalu terbabas melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri, berpusing beberapa kali dan masuk balik ke lorong laju.

“Kemudian bas ekspres yang datang dari arah belakang gagal mengelak telah melanggar berkenaan menyebabkan tiga penumpang kereta tercampak keluar dari kenderaan. Ketiga-tiga mangsa yang tercampak maut di tempat kejadian,” katanya apabila dihubungi oleh Suara Perak.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Cheah Chui Yoong, 60, Cheah Yook Ching, 57, Yew Kim Nyuk, 53, merupakan penumpang di bahagian belakang.

Kesemua mereka dari Kuala Lumpur.

Manakala mangsa yang cedera ialah pemandu Bryan Cheah Ern-Li,24, dan penumpang hadapan Cheah Chee Voon, 61, kedua-dua dari Melaka dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kampar.

Beliau berkata 16 penumpang bas umur lingkungan 11-39 tahun tidak mengalami kecederaan.

“Keadaan jalan di lokasi kejadian jalan lurus, dua lorong satu hala ke utara dan cuca baik serta cerah.

“Kereta tersebut mengalami rosak teruk di ke semua bahagian, manakala bas ekspres pula pecah di bahagian hadapan sebelah kanan.

“Lima orang penumpang bas tersebut telah dipindahkan ke bas lain menuju ke Pulau Pinang sebelum ketibaan pegawai penyiasat,” katanya lagi.

Tiada tangkapan dibuat dan siasatan lanjut masih dijalankan.