KULAI: Tiga maut, manakala tiga lagi cedera selepas dua kenderaan terbabit dalam kemalangan di Kilometer 29.9 Lebuhraya Linkedua, Senai, tengah hari, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian pada jam 12 tengah hari itu mengakibatkan mangsa, Muhammad Assel Habel Akbar, 21, Muhammad Safuan Sazali, 23, dan Mohamad Ridzuan Mohamad, 24, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala serta badan.

Katanya, kemalangan turut menyebabkan Nur Syahirah Mohamad Farid, 21, Nur Zaffira Zulkhairi, 25, dan Muhammad Hamirul Ikmal Ishmuddin, 24, cedera dan mereka dibawa ke Hospital Kulai untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Honda Civic dipandu Muhammad Aseel Habel gagal dikawal menyebabkan kenderaan itu terbabas dan melanggar besi tengah pembahagi jalan.

“Kereta itu berpusing beberapa kali menyebabkan pemandu dan Muhammad Safuan yang duduk di bahagian penumpang hadapan tercampak keluar.

“Kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat mengalami kecederaan di badan dan kepala,” katanya.

Dzulkhairi berkata, pada masa sama pemandu PERODUA Bezza yang mengekori Honda Civic terbabit, gagal mengawal kenderaan itu lalu terbabas ke kiri jalan dan berpusing serta terbalik ke dalam longkang di kiri jalan.

“Pemandunya, Mohamad Ridzuan tercampak keluar dari kenderaan dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika hujan, selain keadaan persekitaran agak gelap.

“Keadaan jalan lurus yang mempunyai laluan dua hala dengan setiap hala mempunyai dua lorong. Setiap lorong dipisahkan garisan putih putus-putus,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kematian – berita harian