IPOH: Tiga muka baru mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini pada Jumaat.

Mereka ialah Pengerusi MyPPP Buntong, Datuk Naranya Singh a/l Asa Singh, Presiden Persatuan Pelancongan Perak, Mohamed Odman Abdul Kadir dan Ketua Pemuda MCA Ipoh Barat, Low Guo Nan yang mewakili bukan siasah.

Mereka menggantikan Datuk Phoon Kwai Fong, Datuk Lee Heng dan Ir Lai Kong Phooi.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man di dalam ucapannya berharap, pelantikan mereka akan menyuntik semangat baru MBI dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada wargakota.

Beliau turut berharap, MBI dapat melakukan transformasi untuk mencapai tahap lima bintang, sekaligus menjadi antara bandar raya terbaik di negara ini.

Bagaimanapun, ujarnya, MBI tidak akan melupakan tanggungjawab asas penubuhannya yang antara lain untuk melihat isu sampah, longkang, rumput dan penyelenggaraan kemudahan awam sedia ada.

Beliau memberitahu, ketika Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turun bersama-sama pekerja bawahan mengutip sampah di beberapa lokasi baru-baru ini, beliau bertanya kepada pekerja berkenaan sama ada Ipoh boleh menjadi bandaraya terbersih.

“Dengan penuh yakin kakitangan kita berkata, boleh dan saya juga yakin Ipoh boleh menjadi bandaraya terbersih di Malaysia,” kata beliau.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak, termasuk Ahli Majlis memainkan peranan masing-masing untuk merancakkan pembangunan bandaraya Ipoh, selaras dengan harapan wargakota.

Sementara itu, Mohamed Odman ketika ditemui berkata, dengan pelantikkannya, beliau berharap dapat memberi sumbangan kepada MBI di dalam sektor pelancongan.

“Banyak lagi yang boleh dibuat, tetapi ia memerlukan perancangan yang tersusun, misalnya pembangunan pekan lama sebagai kawasan pelancongan,” ujarnya.

1fd62c29-9252-4c5c-aa40-ce5c81c134ca

abceee49-d76a-4fcc-8115-fa5921b495e7

1d67e22d-c2c2-4fa2-a920-2e2ee4e2b325