KUALA BERANG: Dua lelaki dan seorang wanita orang kurang upaya (OKU) ditahan dalam operasi mengekang kegiatan mengemis di pasar giliran Kuala Berang, di sini, semalam.

Pegawai Kebajikan Daerah Hulu Terengganu, Nor Azmy Adenan berkata, operasi dua jam itu tertumpu di pasar terbabit kerana sering dijadikan lokasi mengemis.

Beliau berkata, ketiga-tiganya berusia lingkungan 50-an ditemui bersama wang tunai berjumlah RM500.

“Mereka diberi amaran dan diserah kepada keluarga masing-masing selepas siasatan dijalankan.

“Operasi kali ini tidak mengesan pengemis warga asing, kanak-kanak mahupun pemegang kad UNHCR. Tiga yang ditahan adalah warga tempatan,” katanya di sini, hari ini.

Nor Azmy berkata, pihaknya akan terus melakukan operasi dari semasa ke semasa bagi mengekang kegiatan itu bukan hanya pada Ramadan, sebaliknya setiap minggu.

Katanya, pasar giliran yang berlangsung setiap minggu dikunjungi ramai menyebabkan ia cenderung jadi pilihan pengemis.

Dalam pada itu, seorang pengemis OKU itu mendakwa mampu memperoleh lebih daripada RM100 hanya dalam tempoh beberapa jam meraih simpati di pasar itu.

“Tambahan pula sekarang ini adalah Ramadan, pengunjung yang simpati dengan kami mudah untuk menghulurkan sumbangan.

“Saya cacat penglihatan hanya duduk menadah bakul di celah-celah peniaga,” katanya – berita harian